Memaparkan catatan dengan label KENYATAAN MEDIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KENYATAAN MEDIA. Papar semua catatan

Ahad, September 15, 2013

Sepak terajang pertembungan Pemikiran bilamana Muktamar vs Himpunan Agong


Kaji Hanya Untuk Penambahbaikan

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO. UMNO bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata UMNO ialah perkauman, lambang UMNO ialah keris tidak bersarung, politik UMNO ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik UMNO yang penuh dengan habuk kebangsaan.
Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin UMNO sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

Selasa, Mac 15, 2011

PERTEMUAN YANG MEMBIMBANGKAN UMNO

Kenyataan Media

NIK ABDUL AZIZ JUMPA HARUSSANI: UMNO PERAK BIMBANG



Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasa kesal berhubung kenyataan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar yang menyifatkan pertemuan tertutup antara Tan Sri (Dr.) Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak dengan Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS tidak sesuai dan seolah-olah merugikan ummat Islam kerana ianya di politikkan.


DPPN Pk juga merasa kesal kerana masih ada ummat Islam yang membezakan agama di dalam politik dan ianya tidak sepatutnya berlaku sama sekali. DPPN Pk melihat Datuk Hamdi tidak memahami Islam yang sebenarnya dan ianya bertentangan dengan slogan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir tentang konsep Islam dan agama kerana kurangnya permahaman daripada kalangan pimpinan Umno itu sendiri.


Sepatutnya ianya perlu dilihat sebagai satu objektif baik kerana usaha ini akan memberikan kekuatan buat ummat Islam agar tidak bertelagah dengan hukum yang ada kerana bagi tokoh-tokoh Agama agar tidak bertembung dikalayak umum. DPPN Pk merasakan kerendahan dan kejelekkan pemikiran Datuk Hamdi yang terlalu bimbang bagi pihak Umno sekiranya pertemuan tersebut berlangsung dan sekiranya ianya berjaya kelak.


DPPN Pk sekali lagi berharap menemukan kedua-dua tokoh tersebut berjaya walaupun ada pihak tertentu tidak senang dengan usaha ini. Malah ianya cuba dihalang agar tidak berjaya dan jelas perkara tersebut tidak menguntungkan Umno jika ianya diadakan dan bukannya kedua-dua tokoh tersebut.


DR RAJA AHMAD AL-HISS

Setiausaha,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Jumaat, Mac 04, 2011

UNDI POS: ZAMBRY SELAMAT DI DUN PANGKOR

Kenyataan Media (2 Mac 2011)

UNDI POS: ZAMBRY SELAMAT DI DUN PANGKOR


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengucapkan tahniah awal kepada Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir kerana akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pangkor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti dengan kemenangan besar setelah kemasukan beramai-ramai pengundi pos sebanyak 5,669 orang berikutan data yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) baru-baru ini.


Sudah tentu Datuk Seri Zambry akan memenangi kerusi DUN tersebut secara bergaya dengan penambahan undi yang akan meningkat kelak. Kemungkinan ini berdasarkan kemasukan pengundi pos yang terlalu tinggi di sana. Sudah tentu kerusi DUN Pangkor adalah kerusi paling selamat di Negeri Perak. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Zambry bergantung kepada pengundi pos untuk menang di dalam PRU sepanjang beliau bertanding di sana.


Lain pula isyaratnya jika Datuk Seri Zambry tidak akan bertanding lagi di DUN Pangkor dalam PRU 13 nanti, atau beliau akan bertanding di kerusi lain atau kerusi Parlimen pula? Atau pada kali ini pengundi pos akan menolak Datuk Seri Zambry pada PRU 13 nanti. Kemungkinan-kemungkinan ini tidak mustahil di dalam politik jika suara rakyat ataupun Pasukan Beruniform tidak didengar oleh kerajaan.


Bagi DPPN Pk, kita berasa hairan dengan peningkatan mendadak dalam undi pos di DUN Pangkor namun kami juga tidak pelik sekiranya ada usaha tertentu untuk memastikan Datuk Seri Zambry mengekalkan kemenangannya di Pangkor kerana kawasan tersebut sudah tidak selamat lagi bagi beliau. Atau kita juga sama-sama tunggu politik Umno / Barisan Nasional (BN) bagi melihat siapakah akan mengganti kerusi DUN Pangkor akan datang. Dan yang lagi penting adalah, sama-samalah kita tunggu samaada pengundi pos akan bangkit untuk menolak BN pada PRU 13 nanti! Adakah Datuk Seri Zambry akan menjadi wakil Pos di DUN Pangkor?


DR RAJA AHMAD AL-HISS

Setiausaha,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

ISYTIHAR HARTA: KENAPA ZAMBRY TAKUT?

Kenyataan Media (1 Mac 2011)

ISYTIHAR HARTA: KENAPA ZAMBRY TAKUT?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kesal komen yang telah diberikan oleh Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir di atas saranan mengemukakan atau mengisytihar harta semua EXCO Kerajaan Negeri Perak sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor bagi memberikan peluang kepada seluruh rakyat untuk menilai sendiri kedudukan sebenar harta setiap EXCO Kerajaan Negeri tersebut.


Sepatutnya Datuk Seri Zambry sebagai orang nombor satu menunjukkan contoh yang baik dikalangan semua EXCO Kerajaan Negeri serta sebagai bukti bersihnya setiap EXCO kerajaan Negeri sediaada. Siapakah yang mentadbir kerajaan negeri sekarang? Kenapa cuba memburukkan orang lain sedangkan perkara tersebut adalah untuk menunjukkan ketelusan kerajaan negeri. DPPN Pk kesal sikap berdalih Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini.


DPPN Pk mendesak agar Datuk Seri Zambry dan semua EXCO Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta mereka dengan segera. Berdasarkan maklumat terkini yang dikatakan bahawa seorang EXCO Kerajaan Negeri sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya Datuk Seri Zambry berusaha membersihkan imej mereka dengan mengisytihar harta. Tetapi Datuk Seri Zambry bersikap angkuh dan tidak mengambil ikhtibar langsung.


DPPN Pk memberikan tempoh seminggu kepada Datuk Seri Zambry untuk mengisytiharkan harta beliau dan seluruh EXCO Kerajaan Negeri. Jika Datuk Seri Zambry dan EXCO Kerajaan Negeri gagal mengemukakan atau mengisytihar harta untuk dinilai oleh rakyat, maka memang benarlah persepsi yang berlegar dikalangan rakyat ketika ini bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) adalah dikalangan mereka yang tidak bersih.


SALMAN HAJI SALEH

Naib Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

PAS GANTI UMNO: UMNO GANTI SIAPA?

Kenyataan Media (1 Mac 2010)

PAS GANTI UMNO: UMNO GANTI SIAPA?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengecam ucapan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir ketika Majlis Perasmian Serentak Umno Cawangan-cawangan Seluruh Negeri Perak dan terlupa situasi di Negeri Perak bahawa siapakah yang akan menggantikan Umno di Perak jika tsunami politik semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun 2008 berulang kembali di Perak.


Bagi di Perak, Umno sebenarnya akan digantikan oleh wakil Bebas kerana pentadbiran kerajaan Negeri sehingga kini masih ditentukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas melalui rampasan kuasa bukan melalui sistem demokrasi berparlimen seperti di negeri-negeri lain di Malaysia dan negara-negara di dunia yang mengamalkan sistem ini.


Kenapa Datuk Seri Zambry lupa dengan peristiwa ini? Kenapa Datuk Seri Zambry tidak melihat bahawa Umno masih gagal memainkan peranannya sehingga kini? Umno Perak sebenarnya bakal digantikan oleh PAS jika rakyat menolak Umno pada PRU 13 nanti.


Ini kerana semua kerusi Umno di Perak akan berdepan dengan PAS dan jika Umno kalah kerusi tersebut sudah tentu bahawa PAS akan menggantikan Umno. DPPN Pk yakin rakyat boleh menilai sendiri kepimpinan Umno Perak kini kerana masih meneruskan kerakusan yang telah dilakukan oleh kepimpinan mereka sendiri.


DPPN Pk akan bersama rakyat bagi membuat perubahan dan memastikan bahawa PAS akan menggantikan Umno, manakala Barisan Nasional (BN) akan digantikan dengan Pakatan Rakyat (PR) di Perak.


ZAWAWI HASSAN

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Rabu, Februari 16, 2011

KEMELUT MESIR: MOHON JAMINAN KERAJAAN


Kenyataan Media

KEMELUT MESIR: MOHON JAMINAN KERAJAAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta jaminan Kerajaan Negeri Perak berhubung kos tambang pemergian kembali pelajar-pelajar rakyat Negeri Perak yang kini dalam proses pulang ke tanah air akibat kemelut pergolakan di Negara Mesir yang masih belum memberikan jaminan kerana isu tersebut masih menghantui Ibu Bapa pelajar berkenaan, dalam masa yang sama tidak menafikan usaha membawa semua pelajar tersebut kembali ke tanah air sebagai usaha yang terbaik.

Perkara tersebut seperti terlepas pandangan pihak Kerajaan Negeri walaupun Kerajaan Pusat kini sedang berusaha membawa pulang semua rakyat Malaysia untuk pulang. Tetapi selepas ini akan timbul pula persoalan tentang kos tambang pelajar yang ingin kembali semula ke Mesir di atas tanggungan siapa? Apakah pendirian Kerajaan Negeri Perak bagi menjaga kebajikan pelajar Perak yang masih belum menamatkan pengajian mereka di sana?

DPPN Pk inginkan jaminan, bahawa Kerajaan Negeri Perak akan membayai kos tambang pergi semula mereka ke sana setelah kemelut Mesir berakhir. DPPN Pk amat bimbang dengan ketidak prihatinan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan semua pelajar Perak yang masih tertangguh pengajian mereka akan terabai akibat menanggung kos tambang diluar jangkaan mereka.

DPPN Pk berharap Kerajaan Negeri Perak dapat menjelaskan kedudukan sebenar, agar semua Ibu Bapa lega dengan jaminan bahawa Kerajaan Negeri Perak akan menanggung kos perbelanjaan kecemasan ini untuk semua pelajar Perak pulang semula menyambung pengajian mereka selepas berakhirnya kemelut di Mesir jika Kerajaan Pusat tidak menguruskan pemergian kembali mereka ke sana.

ZAWAWI HASSAN

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Selasa, Februari 01, 2011

DEWAN ULAMA PAS PERAK SANGGAH KENYATAAN MB (H) PERAK

IPOH, 25 Jan - Ketua Penerangan Dewan Ulama’ PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria hari ini membidas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir di atas kenyataan beliau yang menuduh para ulama’ sebagai penyebar fitnah.


“Ulama’ berperanan menyampaikan kebenaran dan keadilan agama Islam, bukan penyebar fitnah”, beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zambry yang menuduh pihak tertentu yang mendakwa sebagai para ulama’ telah menyebarkan fitnah.

“Para ulama’ mempunyai ilmu dan bercakap berdasarkan ilmu, sebagai contoh sekiranya ada perbuatan pemimpin yang boleh membawa kepada amalan syirik dan khurafat tentulah para ulama’ menegur dan menyatakan kebenaran. Kalau ulama’ mendiamkan kemungkaran bererti ulama’ menjadi seperti syaitan bisu”, jelas beliau


Beliau juga menyatakan bahawa PAS selama ini telah berjaya melahirkan ulama’ yang dapat memimpin masyarakat dengan segala pendekatan tarbiyyah dan mampu melahirkan individu yang bertaqwa kepada Allah SWT.


“Inilah perbezaan yang jelas antara PAS dan Umno. Umno jelas-jelas mengenepikan peranan ulama’ dalam parti mereka, orang yang ada ilmu agama dalam Umno terpaksa bersetuju walaupun tindakan kerajaan menyalahi hukum agama seperti cadangan hub hiburan malam melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP)”, tegas beliau.


Menurut beliau, ulama’ di dalam PAS memimpin parti dan mendidik masyarakat dengan tarbiyyah Islamiyyah dan menerangkan perihal hukum halal haram supaya masyarakat bertaqwa kepada Allah SWT.

“Golongan ulama’ mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat, perkara ini tidak berlaku dalam Umno dimana ulama’-ulama’nya hanya mengikut telunjuk pemimpin dan kepentingan politik mereka," ujar beliau.

Memetik ucapan beliau, “ Masalah antara Umno dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah negara Malaysia, sama ada dari sudut pentadbirannya, kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W Pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Beliau menyatakan bahawa, PAS mempunyai agenda besar dalam perjuangannya dan tidak sesekali terpengaruh dengan perjuangan nasionalis-sekular Umno, justeru Umno akan terus ditentang selagi parti itu mempertahankan dasar kebangsaan atau assobiyyah.

“Perjuangan PAS bukan menentang peribadi, tetapi menentang dasar Umno. Siapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi ia mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara mungkar dan mengkhianat amanah negara dan rakyat. PAS tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul,” katanya.

Khamis, Januari 13, 2011

MAGGI BN SUDAH KEMBANG!!!

Kenyataan Media

(11 Januari 2011)

CALON BN PRU13: MUKA LAMA TERGUGAT?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendapat maklumat bahawa Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir,

selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, akan menyenaraikan muka-muka baru sebagai calon BN menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti termasuk calon muda sebagai satu perubahan dan lonjakan terhadap kepimpinannya. Langkah tersebut dikira sebagai satu bentuk tindak balas terhadap pengiktirafan Dato’ Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Presiden BN, kerana masih mengekalkannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak.


Termasuk juga perubahan tersebut adalah perlantikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak yang baru, Khairul Azwan Dato’ Harun yang menggantikan Maslin Sham Razman. Perlantikan ini juga dilihat sebagai satu 'signal' jelas kepada mana-mana tokoh lama yang dikenalpasti tidak berkemampuan atau tidak dilihat membantu kepimpinan Datuk Seri Zambry. Faktor ini juga akan memberikan imej baru kepada BN Perak kerana menampilkan muka baru yang lebih muda sebagai calon. Apapun bagi DPPN Pk, kami juga sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan tersebut bagi berdepan dengan BN dalam PRU nanti.


Bagi DPPN Pk, rakyat pada hakikatnya sudah dapat melihat dan menilai kemampuan Datuk Seri Zambry sebagi nahkoda dalam mengemudi satu barisan kepimpinan yang sebahagian dari mereka jelas bukan daripada pasukan 'pilihan'nya. Seorang pemimpin muda berwibawa sepatutnya memanafaatkan sebaik mungkin barisan kepimpinan yang sedia ada, namun kualiti ini tampaknya tiada pada Datuk Seri Zambry yang dilihat secara jelas bakal membuat satu kejutan besar bagi BN Perak bagi menghadapi PRU 13 kelak. DPPN Pk mengalu-alukan langkah Datuk Seri Zambry menyediakan pentas baru untuk tokoh-tokoh muda terutamanya bagi merancakkan lagi suasana PRU 13 dan bagi rakyat membuat penilaian sebenar terhadap kemampuan seseorang pemimpin sejati.


Bahkan, DPPN Pk sudah bersedia pada bila-bila masa untuk berdepan dengan barisan baru Datuk Seri Zambry ini. Rakyat juga amat tertunggu-tunggu melihat perkembangan BN Perak pada PRU 13 nanti. Bagi DPPN Pk, kuasa rakyat yang mampu menaikkan mana-mana pemimpin yang terbaik itulah jua yang boleh menurunkan mana-mana pemimpin pada bila-bila masa sahaja, berkat petunjuk dan hidayah Allah yang padaNya jua Raja segala Kuasa.


MOHD MUNIR ALI

Timbalan Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Ahad, Disember 12, 2010

AUDIT 2009 PERAK: RESAH RAKYAT MAKIN TERASA

Kenyataan Media (28 Oktober 2010)

AUDIT 2009 PERAK: RESAH RAKYAT MAKIN TERASA

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat bimbang dengan laporan Ketua Jabatan Audit Negara yang baru dikeluarkan untuk tahun 2009 ini yang begitu jelas akan kepincangan pengurusan yang lemah bagi konteks Negeri Perak yang memerlukan penjelasan kerana ianya berkait rapat dengan rakyat terutamanya kemudahan-kemudahan yang sebelum ini pernah menjadi janji kerajaan negeri, namun malangnya tidak dapat disiapkan malah merugikan wang rakyat.

Kelewatan projek-projek yang dilaporkan seperti Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar memerlukan satu Jawatankuasa Khas bagi menyiasat permasalahan yang telah timbul samaada secara sengaja ianya dilewatkan atau sebaliknya.

Perkara tersebut jelas juga menunjukkan sikap tidak peka kerajaan negeri untuk memantau setiap projek yang sedang dilaksanakan. Proses meluluskan projek kadang-kadang dilihat sebagai keutamaan, tetapi bagi proses pemantauan tidak dijalankan dengan sebaik mungkin. Malah sikap pertanggungjawaban di atas kelewatan projek-projek tersebut sudah tentu akan diletakkan kepada pihak kedua atau ketiga di dalam menyabitkan kesalahan tersebut kelak. Yang pastinya, pentadbir kerajaan negeri akan terlepas di atas kelemahan dan kecuaian bagi mengatasi masalah tersebut.

DPPN Pk mendesak kerajaan negeri membentangkan kertas putih satu laporan lengkap bagi dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak nanti bagi memperjelaskan isu rakyat yang saban tahun akan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara sebagai projek yang bermasaalah. DPPN Pk amat kesal jika kerajaan negeri tidak bertindak tegas terhadap mereka-mereka yang mencari keuntungan di atas kelemahan pengurusan dan menekan rakyat atas kelemahan yang seolah-oleh sengaja diada-adakan.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.


Media Pilihan Kebenaran Anda!!!

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

PERINGATAN TG NIK AZIZ BUAT MANUSIA SEJAGAT


  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO