ISYTIHAR HARTA: KENAPA ZAMBRY TAKUT?
Kenyataan Media (1 Mac 2011)
ISYTIHAR HARTA: KENAPA ZAMBRY TAKUT?
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kesal komen yang telah diberikan oleh Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir di atas saranan mengemukakan atau mengisytihar harta semua EXCO Kerajaan Negeri Perak sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor bagi memberikan peluang kepada seluruh rakyat untuk menilai sendiri kedudukan sebenar harta setiap EXCO Kerajaan Negeri tersebut.
Sepatutnya Datuk Seri Zambry sebagai orang nombor satu menunjukkan contoh yang baik dikalangan semua EXCO Kerajaan Negeri serta sebagai bukti bersihnya setiap EXCO kerajaan Negeri sediaada. Siapakah yang mentadbir kerajaan negeri sekarang? Kenapa cuba memburukkan orang lain sedangkan perkara tersebut adalah untuk menunjukkan ketelusan kerajaan negeri. DPPN Pk kesal sikap berdalih Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini.
DPPN Pk mendesak agar Datuk Seri Zambry dan semua EXCO Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta mereka dengan segera. Berdasarkan maklumat terkini yang dikatakan bahawa seorang EXCO Kerajaan Negeri sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya Datuk Seri Zambry berusaha membersihkan imej mereka dengan mengisytihar harta. Tetapi Datuk Seri Zambry bersikap angkuh dan tidak mengambil ikhtibar langsung.
DPPN Pk memberikan tempoh seminggu kepada Datuk Seri Zambry untuk mengisytiharkan harta beliau dan seluruh EXCO Kerajaan Negeri. Jika Datuk Seri Zambry dan EXCO Kerajaan Negeri gagal mengemukakan atau mengisytihar harta untuk dinilai oleh rakyat, maka memang benarlah persepsi yang berlegar dikalangan rakyat ketika ini bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) adalah dikalangan mereka yang tidak bersih.
SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Seja o primeiro a comentar
Catat Ulasan