Khutbah dan keberkesanannya kepada umat
Suka untuk aku kongsi satu isi khutbah yang aku dengar semalam. Khutbah tu dari Kerajaan Negeri atau kerajaan langit. Namun, aku tidak pasti khutbah itu dikategorikan sebagai Khutbah Hadhari atau tidak. Khutbah semalam tu bertajuk "Bersama Menangani Gejala Sosial". Isunya remaja dan gejala sosial. Biasa la jika isunya gejala sosial, maka adalah disebut tentang budaya-budaya yang menular di kalangan remaja sekarang. Kemudian turut disebut peranan ibubapa, masyarakat dan pimpinan bagi menangani masalah ini. Aku tertarik dengan satu persoalan yang dilontarkan khatib kepada remaja-remaja hari ini. "Apakah Pendidikan Agama yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah belum mencukupi? Atau apakah punca sebenar masalah ini, sehinggakan gejala sosial ini kian berleluasa dan menjalar di bandar dan di kampung?"Nada itu ditekan dengan rasa cukup kecewa. Kecewa bilamana remaja-remaja hari ini seolah-oleh sudah 'tidak makan diajar' lagi. Seolah-olah kita hari ini telah melakukan yang terbaik kepada anak remaja kita hari ini bagi menangani segala permasalahan. Khutbah juga menegur betapa teruk prilaku anak-anak remaja hari ini apabila budaya barat ditiru dan artis dipuja. Hampir semua penyakit budaya disebut dari A hingga Z. Hampir tiada yang terkecuali. Dari atas kepala, hingga ke hujung kaki. Memang memalukan mendengarnya.Satu punca yang aku tunggu-tunggu disebut oleh khatib, namun tidak disebut sehingga akhir cukup mengecewakan aku. Peranan media massa samada bercetak mahupun elektronik dalam membawa budaya-budaya ini. Bukan berniat menyalahkan 100% media yang ada ini, namun itu adalah realiti yang ada,Pada aku, peranan kedua-dua media ini sangat besar pengaruh dan kesan yang diberikan kepada perubahan sikap masyarakat. Hiburan melampau yang dihidang melalui pelbagai program TV samada realiti mahupun fantasi, dan liputan meluas aktiviti hiburan menerusi akhbar dan majalah sungguh melampau. Ini jauh jika dibandingkan ruangan atau pembahagian masa yang disediakan untuk rancangan agama atau berinformasi sihat. Apatah lagi masa yang disediakan untuk ruangan agama di TV misalnya cukup terbatas. Bicara Mufti disiar seawal jam 6 pagi dan diulangsiar pada tengah malam (seingat aku). Forum perdana dan Al-Kuliyyah hanya seminggu sekali. Pembelajaran agama di sekolah? Cukup jika aku katakan tidak dipandang penting kerana tidak masuk peperiksaan utama. Aku juga suka menyentuh Khutbah Jumaat yang dilihat gagal memberikan maklumat yang baik dan menepati kehendak masyarakat. Aku berkata begini kerana khutbah yang dibaca teksnya kadang-kala tidak menyentuh masyarakat lantaran setiap tempat berlainan masalah dan penyakitnya.Sebelum khutbah dibaca, seorang jawatankuasa masjid telah berdiri dan membuat beberapa pengumuman. Di samping pengumuman biasa, beliau juga telah membuat beberapa teguran khusus kepada anak-anak remaja yang dikesan tidak solat, sebaliknya bermain-main di belakang. Selain itu turut ditegur perlakuan anak-anak yang semakin berani membuat vandalisme mahupun jenayah. Para bapa juga dipesan menjaga perlakuan anak-anak.Pada aku, sepatutnya teguran bersifat setempat itu sewajarnya diselit sahaja dalam khutbah. Ini kerana pengumuman sebelum khutbah biasanya tidak mencapai sasaran yang banyak. Budak-budak muda sudah tentu lewat datangnya. Jemaah juga agak berkurangan ketika itu. Lagipun, isu setempat lebih akan diambil perhatian dari isu yang langsung tidak menyentuh dan berkaitan mereka. Bayangkan sahaja khutbah menyebut perihal budaya bertatu dan bersubang di telinga bagi lelaki pada masyarakat kampung. Budaya itu terlalu jauh sifatnya berbanding budaya lain seperti merempit, pergaulan bebas, lepak, dadah dan sebagainya. Di sinilah aku lihat betapa medium khutbah yang ada masih gagal menepati kehendak masyarakat. Mungkin Khutbah Multimedia dilihat moden dan membanggakan. Namun sekiranya isu dan isinya masih kaku dan jumud tanpa pengubahsuaian dari khatib, maka kekal lah khutbah itu dilihat rendah mutunya dan tidak menepati sasaran. Mungkin sahaja khatib yang ada tidak punya upaya mengubah khutbah, atau memang arahan tidak membenarkan khutbah diubah sedikitpun.Maka, kekal lah khutbah dilihat sebagai suatu ucapan yang tidak menarik, dan lebih dilihat sebagai 'waktu rehat' untuk melelap mata. Langsung tidak ditunggu, sebaliknya dinanti bila mahu tamatnya khutbah.Wallahua'lam
Seja o primeiro a comentar
Catat Ulasan