Isnin, Januari 26, 2009

3 lagi ADUN BN Perak sertai Pakatan?

PETALING JAYA: Kira-kira 24 jam selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) dijangka menyertai Pakatan Rakyat.

Terdahulu di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengerusi BN itu menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.

“Semua itu khabar angin sahaja…saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah),” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan tindakan Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR semalam.

Nizar ketika mengulas lanjut isu itu memberitahu, perbincangan dengan ketiga-tiga ADUN terbabit sedang berlangsung dengan Pakatan Rakyat.

“Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di Ipoh hari ini.

Ketika ditanya mengenai identiti ADUN berkenaan, beliau berkata ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan ialah dari Umno.

“Kami mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam Pakatan Rakyat dan kami terbuka untuk menerima mereka,” katanya.

Dengan keputusan Nasarudin, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, keputusan Nasaruddin tidak menjejaskan kedudukan BN.

Kata beliau, keputusan Nasaruddin itu hanya membawa perubahan kepada jumlah kerusi di persidangan DUN.

Tajol Rosli, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata BN di Perak masih kukuh dan berazam mahu merampas semula Perak daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita ada tiga tahun lagi untuk berbuat demikian dan BN telah menggerakkan semua jentera terutamanya untuk meraih undi pengundi muda.

“BN mendapati kekurangan undi pada pilihan raya umum ke-12 adalah di saluran tiga dan empat… kita akan gerakkan jentera untuk mendapatkan sokongan pengundi muda daripada saluran tersebut,” katanya selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan di Gunung Rapat di sini. MStar

Seja o primeiro a comentar


Media Pilihan Kebenaran Anda!!!

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

PERINGATAN TG NIK AZIZ BUAT MANUSIA SEJAGAT

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO