Isnin, Jun 07, 2010

“Kami Bukan Wira Tetapi Andalah Wira Yang Sebenar” – Ketua Misi

Tak sangka dapat keluar awal dari Israel – Noorazman

SEPANG 6 Jun – “Kami tidak sangka dapat keluar dari Israel seawal ini. Kami rasa kami akan duduk di sana dalam sebulan, dua bulan atau mungkin setahun dua tahun lagi.

“Apatah lagi kami telah diputuskan hubungan (dengan dunia) luar dengan tidak dibenarkan menghubungi sesiapa. Kami hanya melihat kedutaan-kedutaan negara lain masuk ke dalam penjara.

“Kami tahu Kedutaan Malaysia tidak akan masuk kerana tidak ada hubungan diplomatik (dengan Israel),” kata ketua misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd. Samsuddin.

Berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel pada sidang akhbar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba di tanah air awal pagi ini, kesemua 12 sukarelawan itu memanjatkan syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

Noorazman dan sebelas lagi sukarelawan Malaysia berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air kira-kira pukul 5.40 pagi ini.

“Saya bagi pihak rakan-rakan juga mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Jordan. Kami tidak sangka dapat keluar awal.

“Hero sebenarnya bukan kami. Wira yang sebenar adalah mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami. Kamulah sebenarnya wira-wira itu,” kata ketua biro Palestin Haluan Malaysia itu.
Beliau turut memberitahu tiga rakan aktivis, Abdul Halim Mohd. Redzuan, Hasanuddin Mohd. Yunus dan Jamuliddin Elias, telah ditembak dengan peluru getah dan mengenai masing-masing di bahagian kepala, belakang dan paha.

Noorazman berkata, penggunaan peluru getah itu sebagai alasan semata-mata kerana terdapat bukti pihak Israel memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.

“Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja.

“Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal.

“Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang-orang yang mereka mahu bunuh.

“Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa… tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak.

“Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu,” katanya

12 orang sukarelawan Malaysia ke Gaza telah selamat pulang ke Tanah Air pagi tadi kira-kira jam 5.20 pagi diKLIA. Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, beberapa NGO, ahli keluarga masing-masing dan sekitar 300 orang yang lain. Mereka disambut dengan meriah sekali.

Sukarelawan Gaza terus dibawa ke Kediaman PM di Putrajaya bersama ahli keluarga masing-masing untuk diraikan oleh PM.

Seja o primeiro a comentar


Media Pilihan Kebenaran Anda!!!

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

PERINGATAN TG NIK AZIZ BUAT MANUSIA SEJAGAT

  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO