Isnin, Februari 11, 2008

Inilah masanya memilih jalan yang lurus

Pilihan raya umum ke 12 kelihatannya dah semakin menghampiri masanya. Pak Lah dan seluruh rakyat Malaysia telah hampir menamatkan teka - teki ‘demokrasi pak nujum’ apabila masing - masing mengisyaratkan bahawa pilihan raya sudah semakin hampir. Hanya masa yang masih belum tunduk pada sesiapa termasuk Pak Lah. Masa tunduk pada ketentuan Tuan yang menciptanya, Allah.
Jika Pak Lah memiliki lebih kewarasan, sudah pasti beliau tidak akan berseronok dan berbodohan melihat rakyatnya bernujum - nujuman mencongak tarikh pilihan raya. Tapi nasib umat Islam yang tengah fana dalam dunia fatamorgana jahiliyah barat, mereka terpaksa akur barat jauh lebih waras dari pemimpin dunia Islam kita hari ini, khasnya Pak Lahlah.
Anda sedang menyaksikan Puan Hilarry Clinton dan Tuan Barrack Obama, juga saingan Rebublikannya sedang bertarung dalam dunia demokrasi yang cukup hebat dan menakjubkan.
Manusia sudah tua umurnya. Ia budak2 di zaman Nabi Adam, remaja di zaman Nabi Nuh, pemuda di zaman Nabi Ibrahim, dewasa di zaman Nabi Musa AS dan kini sudah cukup tua di zaman Nabi Muhammad SAW. Kerana itu, kerana manusia menghampiri ajal akhirnya, maka dunia kita adalah dunia yang tengah mendekati hari kehancurannya. Hari kiamat. Dunia ini buat kehidupan manusia. Bila manusia diajalkan, dunia pun diajalkan juga.
Kerana sifat tua umat ini yang mengumpul timbunan pengalaman gelojak remaja, kehangatan dan semangat masa muda di samping kematangan kedewasaan, Allah memilih untuk umat ini Al Quran sebagai mukjizat agung utusanNya itu, bukan sekadar keajaiban yang lahir daripada tubuh Baginda semasa hayatnya.
Ia adalah mukjizat ilmu dan kewarasan berfikir. Allah tahu umat Muhammad tersedia dengan akal yang matang dan sarat ilmu. Dia tahu kita akan menolak hidup dalam dunia khurafat tanpa akliah dan bukti yang pasti daripada segala ilmu yang digapai.
Justeru dunia hari ini menerima sistem syura anjuran Islam bahawa hujjah yang baik didengar dan diterima pakai melalui perantaraan mereka yang berilmu dan matang. Mereka menerapkannya dalam sistem demokrasi, sistem pemerintahan pilihan dunia hari ini, walaupun mereka melanggarnya pada asasnya bahawa syura itu mesti berteduh di bawah lingkaran kekuasaan dan kebenaran Tuhan Pencipta.
Amerika dan negara2 di Barat berusaha menjadikannya demokrasi bebas yang mengimpikan keadilan untuk sesama mereka ( bukan sejagat ), sedang kita di dunia Islam melaungkan keadilan sejagat, walhal diri sendiri masih bertompok dengan kebodohan dan kebengapan.
Ketika tarikh pilihan raya seharusnya menjadi hak rakyat ( hak manusia ) untuk mengetahuinya lebih awal demi persediaan rapi untuk mendengar dan menilai daripada semua pihak yang mencabar dan mendakwa, kerajaan kita kekal dalam dunia sempit yang memalukan dengan menjadikannya hak eksekutif dan ekslusif seseorang yang bergelar PM. Perdana Menteri menambah bodoh rakyatnya dengan ‘melantik’ mereka sebagai nujum - nujum Pak Belalang yang mengail -ngail dalam lautan ketentuan Tuhan masa.
Semacam PM berkata, “Sebelum pilihan raya berlangsung, pastikan rakyat membodoh diri dahulu.” Ia mahu memastikan betapa kepentingan ruang masa khas yang luas untuk persediaan rakyat mendengar dan menilai itu menjadi tidak penting dan tak perlu pun.
Inilah bentuk demokrasi Malaysia hari ini. Demokrasi tempang yang dipaksa kita melaluinya atau kita, jika enggan, usahlah bicara pasal politik dan pemerintahan! Atau jika degil, selamat datang ke Kem Kamunting!
Akhirnya selepas puas jenuh menabur dedak di halaman rakyat dan menanam onak dan dedalu di laluan pembangkang, Pak Lah nampaknya pasrah pada apa yang dibimbanginya sebelum menemukan apa yang dicarinya.
Perjalanan mencari asy Syafi’ie dan al Ghazali terus sirna, mengendur dan menghilang dipancar sinar-XX al Khairi an al Hadhari.
Pilihan raya kali ini kelihatan sukar. Dengan tempoh empat tahun Pak Lah mempersembahkan rentak tari politik yang penuh keliru dan tidak bersengat, rakyat kelihatan agar sukar memilih berbanding pilihan raya 2004.
Untuk memilih BN, rakyat tidak yakin dengan kestabilan ekonomi dan sosial yang dijanjikan. Keyakinan harga barang akan terus naik dan keadaan sosial yang bertambah parah tentunya menakutkan mereka untuk terus mengundi BN.
Mungkin rakyat, dek asyik dilalikan dengan umpan hiburan dan janji manis sudah tak cukup masa untuk menilai keadilan yang dialpakan untuk mereka dan kezaliman yang dikenakan terhadap pihak pembangkang hatta dengan isu - isu kekejaman akta ISA dan akta - akta lain yang membebankan, tetapi isu ekonomi dan jenayah sosial mungkin menyentuh isi batin mereka. Mereka tentunya sukar menerima BN boleh menyelesaikannya.
Mungkin rakyat, dek kejahilan berterusan dalam pengajaran ugama dan tuntutannya masih enggan memberi masa emas mereka untuk berfikir tentang masa depan mereka dan ugama mereka walaupun umat Islam terus parah dilanda kemurtadan, samada secara terbuka atau tanpa sedar. Tetapi isu ekonomi yang lembap dan penyakit sosial yang bertambah - tambah mungkin menyentuh hati nurani mereka. Mereka tentu tidak yakin lagi dengan BN untuk menyelesaikannya.
Pak Lah mengelirukan sekali. Ia mengelirukan Islam dengan Islam Hadharinya. Ia mengelirukan jiwa rakyat dengan kelembutannya. Ia mengelirukan pengundi dengan janji - janji manisnya. Ia mengelirukan masa depan Malaysia seluruhnya.
Rakyat sudah tidak yakin dengan Pak Lah, tetapi majoriti besar rakyat juga belum berfikir untuk mengundi pembangkang sebagai alternatif. Rakyat masih tidak mahu lagi memberi masa emasnya untuk menilai pembangkang dan mengenalinya. Memilih pembangkang bererti memilih PAS atau secara umumnya, memilih pakatan alternatif.
Pakatan pembangkang masih di peringkat awal kematangan. Di kalangan umat Islam, sesetengahnya enggan menerima PAS melakukan yang betul untuk membina barisan alternatif dengan semua pihak termasuk bukan Islam. Mereka mencela atas alasan PAS menggadai ugama dan maruah. Di kalangan bukan Islam, sesetengahnya masih melihat PAS dengan kaca mata hitam dan tidak bersedia membuangnya. Mereka fobia dengan negara Islam yang sering dikelirukan UMNO dan pakatannya.
Walaupun ketakutan terhadap pemerintah BN adalah benar, manakala ketakutan terhadap pembangkang hanyalah berkait persepsi dan tanggapan, tetapi itulah hakikat yang akan diterima pakai oleh rakyat hari ini yang telah dikenyangkan dengan dedak dan keseronokan berhibur dan ditakutkan dengan hukuman kemelaratan dan kemiskinan oleh pihak kerajaan.
PAS melalui usahanya masih gagal bertindak meyakinkan umat Islam dan rakyat secara umumnya bahawa mereka mampu memerintah dengan adil dan Islami.
Umat Islam perlu didahulukan dengan keyakinan terhadap kemampuan ugama sendiri untuk mentadbir sebelum meyakinkan mereka dengan PAS. Apabila mereka tidak memahami Islam dan kewajiban mereka terhadap ugama, bagaimanakah digambrkan mereka akan memberi perhatian serius terhadap tawaran PAS yang hanya dikenali sebagai pengganggu yang tak pernah serik untuk kalah.
Beratus tahun umat Melayu ditanam akidah sekularisme oleh penjajah barat sebelum UMNO datang memugar dan menyuburkannya selepas kemerdekaan. Mereka tak tahu pun sekular itu adalah isu akidah yang pasti akan membakar segala amalan baik dan soleh jika ianya menyalahi Islam. Bagaimanalah mereka akan tahu walhal begitulah sistem pendidikan negara yang diterapkan sedari kecil dan begitulah berjalannya sistem pemerintahan negara yang mengawal kehidupan mereka.
Kemudian, PAS berdepan pula dengan sesuatu yang lebih mencabar yang mesti diladeni sebaiknya. PAS berdepan dengan kumpulan - kumpulan Islam lain yang masih kabur atau menolak PAS untuk memerintah. Walaupun sebahagian menerima baik PAS sebagai rakan perjuangan, bahkan sebagai ketua yang mengetuai, tetapi masih kedapatan yang menolak dan membantah.
Ada yang menolak PAS kerana dilihat sanggup bertenggek di julai sistem demokrasi barat yang menyesatkan. Ada yang menolak mentah - mentah sistem pilihan raya kerana ianya bukan daripada sistem Islam. Ada yang menghukum PAS sebagai pengganas atau pemberontak ( bughah ) kepada kerajaan Islam yang ada. Ada yang menolak PAS kerana tegurannya kasar, tak berakhlak dan tak berhikmah terhadap kerajaan sedangkan itulah kewajiban dan car menasihati pemerintah.
Ada yang melihat mengundi hanyalah harus hukum agamanya dan sunat hukum sekularnya! Ada yang mengelak daripada dicemari politik dunia jahiliyah hari ini. Ada yang kerjanya menghimpun dail - dalil ugama yang boleh dieksploitasi untuk menolak dan menyerang PAS.
Kesukaran menyatukan kefahaman di antara kumpulan - kumpulan Islam pastinya menyusahkan jalan untuk menemukan rakyat dengan keyakinan terhadap parti PAS.
PAS dan pembangkang sukar memenangi Malaysia walupun tidak mustahil. Politik adalah usaha memenangi persepsi rakyat dan pemerintahlah yang lebih mudah memenanginya dengan kewujudan jentera propaganda yang cukup.
Rakyat yang jahil sukar untuk menolak kezaliman ke atas diri mereka kerana kejahilan dan ketakutan yang dipaksakan. Mereka tidak pula bersedia menuntut keadilan kerana alasan yang sama.
Hakikatnya PAS sebagai gerakan Islam sudah dikira berjaya dan menang jika mereka dapat memberi kesedaran ugama kepada rakyat. Kejahilan terhadap kewajiban ugama adalah musuh rakyat yang dipelihara UMNO.
Jika begitu, ketika kita melawan UMNO, hakikatnya kita sedang melawan kejahilan rakyat. Rakyat yang tahu tidak akan mengundi UMNO kerana UMNO sudah cukup jijik dalam dunia sekularnya.
Di akhirat nanti manusia dihumban ke neraka kerana diri sendiri yang menzalimi diri sendiri. Jika pun yang diikut ( pemimpin ) menjadi sebabnya, hakikatnya,tidakkah manusia masing - masing telah diberikan kekuatan akal untuk menentukan pilihan diri dengan bantuan cahaya Ilahi?

Seja o primeiro a comentar


Media Pilihan Kebenaran Anda!!!

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

Nilaikanlah dengan kewarasan FIKIRAN ANDA

PERINGATAN TG NIK AZIZ BUAT MANUSIA SEJAGAT


  ©Template by Dicas Blogger.

TOPO